Monday, November 9, 2009

PROFIL SEKOLAH

SEJARAH PEMBUKAAN


Sekolah ini mula dibuka pada 7 Januari 2002 dan dikongsi bersama dengan SMK Elopura 2. Nama sekolah ini diambil sempena nama taman perumahan yang berdekatan iaitu Taman Mawar. Selain itu, nama MAWAR juga membawa maksud Maju ke arah globalisasi, Agresif, Wawasan negara tercapai, Amalan budaya cemerlang dan Rohani yang utuh.

Guru besar pertama adalah Puan Kwan Ping Sin di mana jumlah pelajar pada masa itu adalah kira-kira 165 orang. Guru besar yang kedua adalah Encik Sahak Bin Hamid dan seterusnya disambung oleh Puan Ngatila Suratman.

Bilangan guru yang dahulunya 12 orang telah bertambah kepada 30 orang kesemuanya. Begitu juga dengan jumlah pelajar yang telah meningkat kepada 440 orang.

Sesi pengajaran dan pembelajaran hanya berlangsung pada sesi pagi tetapi pada sebelah petang diselitkan dengan aktiviti Kelas Bimbingan, Ko-Kurikulum, Kelas Tambahan dan Kursus Dalaman. Ini menunjukkan sekolah ini bergiat aktif tanpa mengira masa dan waktu.

Penglibatan pelajar juga turut menyumbang kepada kemajuan sekolah kerana kebanyakan daripada pelajar dan guru tidak mempunyai masalah untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kerana kebanyakannya tinggal berhampiran Taman Mawar dan Taman Sibuga. Kedudukan PIBG yang kuat dan aktif juga membantu dalam sistem pengurusan aktiviti di SK Mawar.

Besarlah harapan agar SK Mawar dapat menjadi sebuah sekolah yang lebih cemerlang di masa akan datang.





VISI


Sekolah Kebangsaan Mawar akan menjadi
sebuah sekolah yang gemilang
menjelang 2011


MISI


Memberi pendidikan kepada anak didik
untuk melahirkan warganegara yang gemilang
berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara


MOTTO


Cemerlang, Cekal, Cekap, Cerdik

Friday, November 6, 2009

SEKAPUR SIRIH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Selamat datang ke blog SK Mawar Sandakan. Saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T, dengan izin dan kurnia-Nya, akhirnya blog ini dapat dihasilkan. Kewujudan blog sekolah membuktikan bahawa pihak sekolah sentiasa mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat dalam memperkenalkan sekolah dan mendedahkan persekitaran sekolah kepada masyarakat, ibu bapa, penjaga dan kakitangan SK Mawar sendiri. Blog ini memaparkan pelbagai maklumat tentang sekolah yang meliputi latar belakang sekolah, perkembangan terkini dalam bidang ko-kurikulum dan kurikulum, program-program dan aktiviti yang dijalankan di sekolah serta warga SK Mawar yang terlibat dalam perkembangan dan pembangunan sekolah.


Dalam era teknologi yang serba canggih ini, penggunaan blog secara optimum dapat memberikan manfaat dan faedah kepada semua guru dan pelajar. Ia juga dapat memupuk minat guru dan pelajar untuk mencari maklumat melalui internet dan menggalakkan pelajar melayari blog berbentuk maklumat bagi menambahkan pengetahuan. Hal ini sebenarnya menggalakkan para guru dan pelajar menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti atau mutu pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan bertaraf global.


Di harap penghasilan blog sekolah ini akan memberikan lebih banyak manfaat kepada individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua guru, pelajar dan KTBM untuk bersama-sama memanfaatkan blog yang telah dibangunkan ini. Sikap kerjasama dan komitmen yang jitu perlu diteruskan agar sekolah dapat melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.


Sekian, wassalam

Puan Ngatila Suratman
Guru Besar SK Mawar
SK Mawar Sandakan © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute