Friday, November 6, 2009

SEKAPUR SIRIH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Selamat datang ke blog SK Mawar Sandakan. Saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T, dengan izin dan kurnia-Nya, akhirnya blog ini dapat dihasilkan. Kewujudan blog sekolah membuktikan bahawa pihak sekolah sentiasa mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat dalam memperkenalkan sekolah dan mendedahkan persekitaran sekolah kepada masyarakat, ibu bapa, penjaga dan kakitangan SK Mawar sendiri. Blog ini memaparkan pelbagai maklumat tentang sekolah yang meliputi latar belakang sekolah, perkembangan terkini dalam bidang ko-kurikulum dan kurikulum, program-program dan aktiviti yang dijalankan di sekolah serta warga SK Mawar yang terlibat dalam perkembangan dan pembangunan sekolah.


Dalam era teknologi yang serba canggih ini, penggunaan blog secara optimum dapat memberikan manfaat dan faedah kepada semua guru dan pelajar. Ia juga dapat memupuk minat guru dan pelajar untuk mencari maklumat melalui internet dan menggalakkan pelajar melayari blog berbentuk maklumat bagi menambahkan pengetahuan. Hal ini sebenarnya menggalakkan para guru dan pelajar menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti atau mutu pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan bertaraf global.


Di harap penghasilan blog sekolah ini akan memberikan lebih banyak manfaat kepada individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua guru, pelajar dan KTBM untuk bersama-sama memanfaatkan blog yang telah dibangunkan ini. Sikap kerjasama dan komitmen yang jitu perlu diteruskan agar sekolah dapat melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.


Sekian, wassalam

Puan Ngatila Suratman
Guru Besar SK Mawar

0 comments:

Post a Comment

SK Mawar Sandakan © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute